• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

15 Mukim Besut Dikenakan PKPD Bermula Esok

KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di 15 mukim dalam daerah Besut bermula esok, 22 Mei sehingga 4 Jun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KKM mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di negeri Terengganu adalah melibatkan daerah Besut yang telah menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 di negeri ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti.

“15 mukim yang terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelumnya, PKPD di Mukim Pelagat turut dilaksanakan di daerah sama sehingga 2 Jun akibat peningkatan kes, kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut.

“Justeru, sebagai rakyat Malaysia, selain menghulurkan doa, ayuh kita sama-sama berganding bahu membantu memerangi wabak ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” rayu beliau.

Menurut Jabatan Kesihatan negeri, tiga kematian direkodkan di Besut akibat COVID-19 dengan kes baharu di seluruh negeri hari ini kekal tiga angka sebanyak 233 menjadikan jumlah keseluruhan 1,350 kes.