• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 1,600 Mangsa Dipindahkan Kali Kedua

SETIU, 20 Disember - Sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 1,641 mangsa terpaksa  ditutup dan dipindahkan ke lokasi lain selepas ditenggelami air berikutan banjir sejak Jumaat lalu

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia melibatkan dua PPS di Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu masing-masing lima PPS, serta tiga PPS di Setiu.

“Kesemua PPS ini terletak di kawasan baharu yang ditenggelami air dan diluar jangkaan. Malah situasi bencana banjir kali ini agak berbeza namun mangsa telah pun dipindahkan.

“Dengan kekuatan lebih 3,000 anggota penyelamat semua agensi, pembahagian penugasan telah dibuat untuk memberi keutamaan di lokasi kritikal,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkuk, di sini hari ini.

Beliau berkata, situasi luar jangka itu memberi sedikit kesukaran kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat untuk mengurus serta menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa selepas situasi banjir semakin buruk di negeri ini.

Justeru itu, tumpuan utama diberikan kepada kawasan kritikal yang mempunyai pesakit kronik, ibu mengandung dan warga emas yang perlu pemindahan segera.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga perlu lebih tegas dengan kanak-kanak kecil yang bermain air kerana dikhuatiri disengat binatang berbisa yang boleh mendatangkan mudarat.