Oleh : Fidee Aziz
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Sebanyak 15 sangkar penyembelihan mudah alih akan digunakan di Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor dalam aktiviti korban sempena Hari Raya Aidiladha Jumaat nanti.
Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, penggunaan sangkar bernilai RM25,000 itu merupakan kesempatan yang baik untuk memperkenalkan inovasi baharu dalam aktiviti penyembelihan haiwan korban.

"Malah inisiatif ini juga mampu mengurangkan tenaga orang ramai di dalam proses penyembelihan.
"Dalam menghadapi COVID-19, antara faktor-faktor yang sangat penting kita mendidik masyarakat kita adalah aspek kebersihan.
"Kaedah menggunakan sangkar ini kita dapat mempertingkatkan aspek kebersihan kerana sebaik sahaja lembu disembelih ia akan diletakkan di dalam troli dan akan dibawa ke tempat lain untuk diuruskan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan dan Latihan Pengendalian Sangkar Penyembelihan Mudah Alih di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, sebagai sebuah kementerian yang menggalakkan inovasi, MOSTI akan sentiasa mencari jalan untuk menambah baik sistem sedia ada.
"Inovasi ini akan mengundang keterujaaan pelbagai pihak apabila mula digunapakai pada ibadah korban tahun ini serta mendapat sambutan di seluruh negara," tambah beliau.