• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

15 Tahun Menunggu, Akhirnya Dapat Bekalan Air Bersih

SETIU, 9 Oktober - Penantian keluarga Siti Idayu Mohd Ali sejak 15 tahun lalu untuk memiliki air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air tersebut mula dipasang di rumahnya tiga hari lepas.

Kata Siti Idayu, 37, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim kemarau, dia berulang alik ke rumah ibu dan bapanya untuk mendapat keperluan air.

“Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya.

“Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tujuh beranak yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini.

“Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kosnya kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai pengawal keselamatan," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya baru-baru ini.

Siti Idayu tinggal bersama lima orang anak, dan empat daripadanya masih bersekolah sementara anak bongsunya baru berusia 40 hari.

Kisah Siti Idayu itu mendapat perhatian dan simpati Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang terus mengambil beberap langkah proaktif.

Kata Shafizi, masalah keluarga itu diberikan keutamaan agar impian mereka untuk mendapat kehidupan yang lebih selesa direalisasikan.

“Isu ini mendapat perhatian daripada Pusat Khidmat Masyarakat Batu Rakit supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera, alhamdulillah bekalan air bersih telah disalurkan kepada keluarga terbabit.

“Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Damat.

“Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya lagi.


Tag: