• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

150 Penerima Rumah Mampu Milik Seri Bandi Gembira Dan Bersyukur

KEMAMAN, 23 September - Seramai 150 orang penerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Seri Bandi di sini semalam begitu gembira dan bersyukur di atas anugerah ini.

Salah seorang penerima yang ditemui, Sudin Muda 53, amat teruja dan bersyukur diatas pemberian oleh kerajaan setelah 15 tahun menunggu saat ini.

"Saya amat gembira hari ini kerana setelah 15 tahun saya menunggu untuk memiliki rumah sendiri dan akhirnya saat ini tiba juga," ucapnya.

"Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang ada hari ini dan saya bersyukur kepada Allah diatas pemberian ini. Ini adalah rezeki anak - anak dan isteri saya," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap sehari sebelum itu di Majlis Pengundian Lot RMM Seri Bandi menyuarakan bahawa jumlah perumahan RMM ini perlu digandakan memandangkan permintaan keperluan ini amat mendesak kini.

"Tuan puan adalah antara orang yang bertuah menerima rumah ini kerana daripada tahun 2006 sehingga 2016 seramai 1800 pemohon RMM dan 150 nama hari ini yang disenaraikan adalah tuan puan sekalian," ucapnya.

"Oleh itu, ini adalah keperluan yang amat mendesak yang perlu ditingkatkan untuk kebajikan dan keperluan rakyat," ujarnya.

"Tapi saya yakin dan percaya bahawa pihak kerajaan dan pihak yang berkenaan dengan perumahan ini tidak berdiam diri, mereka akan cuba melakukan yang terbaik bagi memenuhi keperluan rakyatnya," katanya.

Hazri Jusoh sedang berucap

Hazri berucap dihadapan 150 orang penerima RMM di Dewan Felcra Seri Bandi kelmarin yang turut dihadiri oleh kakitangan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi proses pengundian lot rumah tersebut.


Tag: