• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

1500 Peserta Meriahkan 'Fun Run, Ride'

KUALA TERENGGANU, 27 November – Program berbasikal ‘Fun Ride’ dan larian ‘Fun Run' tarik lebih 1,500 orang peserta melibatkan laluan masing-masing sejauh 40 dan empat kilometer.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata penyertaan luar jangka masing-masing sekitar 900 orang dari kategori larian dan 600 orang peserta dari berbasikal.

“Penganjuran ini sentiasa mendapat sambutan setiap kali diadakan di samping dapat mendidik diri kita untuk kekal sihat dengan aktiviti bersukan.

“Program anjuran Terengganu Incorporated (TI), Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan beberapa rakan strategik ini berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang begitu baik sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Fun Run dan Ride Mental Health 2022 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Zuwislan Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Sementara itu, Pegawai Psikologi, Tuan Mohd Yusnoruddin Mohd Yusnah berkata program ini diadakan bertujuan untuk membentuk kesihatan mental yang lebih baik.

"Penganjuran seumpama ini turut berupaya menghilangkan tekanan khususnya dalam kalangan kakitangan awam," tambahnya.

Sementara itu, pelbagai hadiah menarik disediakan kepada peserta yang hadir antaranya dua buah motosikal dalam dua kategori yang dipertandingkan.

 

 

 

 

 

 


Tag: