• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

1,518 Warga Emas Air Putih Terima Pencen Rakyat

KEMAMAN, 20 Januari- Seramai 1,518 orang warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerima pencen rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, bertepatan dengan hasrat kerajaaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang berkebajikan, pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir.

"Baru-baru ini telah berlangsungnya Majlis Agihan Sumbangan Pencen Rakyat kepada golongan warga emas yang berada di sekitar Dun Air Putih. Program yang bertempat di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah dan Dewan Semai Bakti, Cheneh ini menyaksikan seramai 1518 orang penerima sumbangan.

"Sumbangan ini telah dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang telah bersara dan bukan penerima bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan negeri dan persekutuan," ujarnya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Beliau turut menyatakan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana tercapainya sebuah lagi manifesto PAS di dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu iaitu untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang telah bersara atau lebih dikenali sebagai Pencen Rakyat.

“Diharapkan dengan terlaksananya Pencen Rakyat ini, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penerima memandangkan ramai yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada para penerima yang begitu sabar menanti memandangkan serahan ini sepatutnya dilakukan pada tahun lepas. Namun majlis serahan ini terpaksa ditangguhkan atas pelbagai kekangan yang melanda.

“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Air Putih, Pejabat Daerah Kemaman dan staf i-MiTS DUN Air Putih yang telah bertungkus-lumus membantu dari awal proses pencarian nama para penerima sumbangan ini sehingga majlis ini berjaya dijalankan dengan lancar," ujarnya.

 


Tag: