• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

15,200 Benih Ikan Lampam Sungai Dan Kelah Untuk Galak Pembiakan

Dr Azman (tiga dari kiri) melepaskan benih ikan.
BESUT, 25 September - Jabatan Perikanan Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri telah melepaskan 15,200 benih ikan Lampam Sungai dan Kelah di Hutan Lipur Lata Belatan, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan  Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti bersempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu (HPPNT) itu adalah sebagai usaha bagi memastikan kelestarian sumber spesies tersebut di sungai-sungai utama negeri ini.

Ujarnya, melalui langkah yang dijalankan secara berkala tersebut juga hasil pendapatan nelayan darat mampu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.

“Dalam tahun ini bermula Januari hingga awal bulan ini, lebih 480,000 benih ikan dan udang telah dilepaskan ke perairan umum, sama ada sungai atau laut.

“Pelepasan benih ikan di sini dijangka turut memberi manfaat kepada enam orang nelayan tulin (daerah Besut) yang menjadikan sungai sebagai sumber utama mereka,” katanya ketika berucap merasmikan program pelepasan benih ikan berkenaan.


Kata beliau, kesedaran orang awam berkaitan pemeliharaan spesies ikan asli perlu ditingkatkan agar hasrat kerajaan untuk memperkayakan sumber tersebut tidak sia-sia.

Justeru menurut Dr Azman, kerjasama penduduk setempat amat diperlukan bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan proses didikan dan penguatkuasaan terhadap pihak yang menggunakan peralatan terlarang.

“Kesedaran orang awam tentang penggunaan peralatan yang dilarang seperti bom ikan masih di tahap yang rendah agar spesies ikan asli di sini tidak pupus.

“Orang awam perlu sedar jika peralatan menangkap ikan tidak mesra sumber masih digunakan usaha mendapatkan kembali populasi ikan asli amat sukar apabila ia pupus,” tambah beliau.





Tag: