• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

160 Pelajar Terima Manfaat Tuisyen Rakyat DUN Tepoh

KUALA NERUS, 2 Februari - Seramai 160 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan Tepoh telah terpilih untuk menyertai Tuisyen Rakyat sebagai usaha kearah memperkasakan ilmu para pelajar menghadapi peperiksaan awam tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penempatan kelas tuisyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan satu tuah buat pelajar dengan persekitaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mampu menyuntik semangat mereka untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

"Calon peperiksaan SPM yang terpilih menyertai Tuisyen Rakyat diharapkan dapat menggunakan peluang ini sebaiknya untuk meningkatkan penguasaan mata pelajaran seterusnya meraih keputusan peperiksaan SPM yang cemerlang bagi peringkat Negeri Terengganu. 

"Inisiatif ini yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs Tepoh) merupakan salah satu usaha pihak Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu para pelajar menguasai mata pelajaran.

"Disamping itu, ia memastikan semua pelajar dapat meraih keputusan peperiksaan yang lebih membanggakan" kata Hishamuddin ketika ditemui media. 

Terdahulu, selain tuisyen biasa, dua kelas elit turut dibuka bagi pelajar yang mengambil subjek Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia. Perjalanan tuisyen rakyat ini mendapat sokongan sepenuhnya pihak SMKA Dato' Haji Abbas, SMK Kompleks Gong Badak, SMK Bukit Guntong dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT).

Manakala itu, program motivasi dan majlis penutup akan diadakan pada 5 Februari 2022 di Dewan Ehsan Felda Wilayah Timur.