• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

160 Penghuni PUSPEN Besut Sertai Program Motivasi

BESUT, 28 September - Seramai 160 penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Besut menyertai program motivasi yang dianjurkan PUSPEN dengan kerjasama Pejabat Penyelaras Parlimen Besut di pusat berkenaan, baru-baru ini.

Selain tazkirah dan motivasi yang disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor, program berkenaan turut menampilkan Azuar Mat Tasi (Zuar XPDC) bagi berkongsi pengalaman dan memberi kata-kata semangat kepada tahanan.

Riduan berkata, para tahanan seharusnya tidak berasa tersisih, sebaliknya perlu manfaatkan sebaiknya masa di pusat itu untuk memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang.

"Tuan-tuan adalah insan yang terpilih oleh Allah untuk berada disini. Saya berharap agar tuan-tuan dapat menjalani ujian ini sebaik mungkin.

"Masa depan negara di tangan tuan-tuan, pilihlah jalan yang baik untuk menguruskannya," ujarnya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Katanya, beliau turut berharap penghuni PUSPEN Besut tidak merasa tersisih berikutan kisah silam mereka dan masyarakat di luar sana perlu bersama-sama membantu untuk proses pemulihan.

Program yang berlangsung selama sejam itu penuh dengan kata-kata semangat dan motivasi oleh kedua tetamu jemputan, malah kehadiran Zuar XPDC juga tambah menceriakan lagi majlis bersama lagu-lagu nasihat dibawanya.

 


Tag: