• 10 Mei 2024 | 2 Zulkaedah 1445

16,000 Rakyat Terengganu Bakal Nikmati Pembangunan Setiu Wetlands


SETIU, 10 Januari - Sekitar 16,000 penduduk yang tinggal di dalam jajaran Taman Negeri Setiu Wetlands akan menerima manfaat pembangunan pengurusan dan pemeliharaan tanah bencah itu di masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, pelaksanaan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pemeliharaan dan Pengurusan Setiu Wetlands sangat penting supaya pembangunan yang dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Kita akan memastikan bahawa apa-apa pembangunan termasuklah pertanian, perlombongan dan perumahan atau penternakan mesti mengikut garis panduan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) barulah ia akan menjamin kelestarian di Setiu Wetlands.

“Tanpa pelan perancangan, akhirnya akan menyebabkan kita hilang satu khazanah penting dalam negara,” katanya kepada pemberita ketika hadir merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam RKK tersebut di Sungai Tarom, hari ini.
Setiu Wetlands miliki pelbagai khazanah unik dan penting.
Majlis tersebut mengetengahkan perancangan  kerajaan negeri untuk memelihara dan memulihara tanah bencah dengan sembilan ekosistem itu kepada umum untuk mendapatkan pandangan dan respon rakyat.

RKK boleh disemak di empat lokasi utama iaitu Majlis Daerah Setiu, Pejabat Daerah dan Tanah Setiu, PLANMalaysia@Terengganu dan Pejabat PLANMalaysia Projek Zon Timur di Kuala Terengganu.

Selain itu, lima lokasi semakan bergerak akan turut diadakan bertempat di lokasi tumpuan sekitar Setiu bermula 10 Januari hingga 30 Januari.

Dr. Alias berharap RKK yang dipamerkan akan mendapat penyertaan masyarakat setempat.

“Kita mengharapkan kerjasama masyarakat setempat untuk memberikan pandangan dan suara dalam usaha kerajaan negeri menjaga kelestarian Setiu Wetlands untuk generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah dan Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Rosdi Awang, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia, Dato’ TPr. Mohd Anuar Maidin, Pemangku Pengarah PLANMalaysia Terengganu, Norhasnita Abd Samad dan Pengarah Taman Negeri, YM. Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.  



Tag: