• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

1,627 Kompaun Dikeluarkan Sehingga Kini, Masih Ramai Keliru SOP

KUALA TERENGGANU, 15 Mei – Sejumlah 1,672 kompaun telah dikeluarkan daripada 8 April sehingga kini atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kes terbaharu melibatkan 43 individu yang bersiar-siar sekeliling tempat awam di dataran drawbridge Kuala Terengganu.

“Sebanyak 43 kesalahan adalah melibatkan individu tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal di kawasan sepanjang Pantai Seberang Takir kemudian kawasan sekeliling Jambatan Angkat sehingga ke Pantai Batu Buruk.

“Jumlah keseluruhan kompaun adalah RM172,000 telah dikeluarkan kepada 43 individu ini mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sementara itu, sepanjang tempoh Hari Raya pada jumaat dan hari ini, 47 individu dikompaun dengan tiga kesalahan tiada surat rentas negeri, rentas daerah dan dua kesalahan langgar SOP.

Menurutnya juga sepanjang Khamis dan Jumaat minggu ini, sembilan individu dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai topeng pelitup muka, tidak mendaftar nama dan mengimbas suhu dengan empat kesalahan tiada surat rentas negeri.

Tambah Roslee, beliau turut menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan SOP semasa PKP pada musim Aidilfitri bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Masih ramai keliru mengenai aktiviti ziarah sepanjang musim perayaan, saya ingin tegaskan sekali lagi, walaupun rumah bersebelahan dengan jiran atau keluarga masih tidak boleh ziarah.

“Kita sudah PKP setahun lebih dan masih lagi segelintir yang tidak faham, terdapat garis panduan menentukan aktiviti apa dibenarkan dan dilarang sepanjang tempoh PKP.

“Kita terpaksa bertegas jika ada yang masih tidak mengambil cakna tentang peraturan SOP, diharapkan agar masyarakat terus mematuhinya demi menjaga kita semua,” jelasnya.