• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

164 Peserta RTB DUN Telemong Terima Borang 5A


HULU TERENGGANU 24 Februari - Seramai 164 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) pertanian dan perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN)Telemong menerima notis borang 5A.

Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, penerimaan borang berkenaan menandakan bahawa tanah tersebut akan dimiliki oleh peserta sepenuhnya tidak lama lagi 

Katanya, ia melibatkan tiga kawasan RTB pertanian iaitu RTB Bukit Sireh di Kampung Kemat sebanyak 32 lot, Macang Gerahim di Kampung Matang 51 lot dan RTB Dusun 35 lot. Manakala satu RTB Perumahan di Bukit Jelutong 2, Kampung Nibong sebanyak 46 lot.

"Peserta hanya perlu menjelaskan bayaran premium tanah yang ditetapkan untuk mendapatkan geran hakmilik.

"Nak dapat tanah ini bukanlah suatu mudah, ada diantara kita telah menunggu sejak puluhan tahun untuk sampai ke tahap ini (Notis borang 5A),

"Saya harap peserta dapat segerakan pembayaran premium yang ditetapkan, kerana ianya akan menamatkan penantian sekian lama untuk mendapatkan geran kekal," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyerahkan borang 5A kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Telemong, baru-baru ini.

Tambah Safari lagi, pihaknya akan terus  membantu rakyat untuk memiliki tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto sebelum Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Terdapat beberapa RTB pertanian dan RTB tapak rumah sedang dalam proses permohonan.

"Dalam masa terdekat ini kita akan adakan majlis pengundian RTB lot rumah Kampung Tapah dan RTB pertanian Sungai Dura di Mukim Jenagor,"tambahnya.