• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

177 Pelajar SMA Tamat Hafazan 30 Juzuk

KUALA TERENGGANU, 28 September- Seramai 177 pelajar dari seluruh sekolah menengah agama (SMA) di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran diraikan dalam Majlis Haflu Takrim Huffaz Al-Quran Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu, hari ini.

Pengarah JPINT, Lothman Awang berkata, majlis itu diadakan bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap segala usaha gigih pelajar menghafaz bermula tahun 2018 sehingga 2021.

“Hafazan al-quran adalah salah satu mata pelajaran tahfiz yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan di sekolah-sekolah kelolaan JPINT.

“Program ini bukan sahaja tertumpu di maahad tahfiz al-quran malah turut dilaksanakan di sepuluh sekolah menengah agama Negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Haflu Takrim Huffaz Al-Quran Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu di Dewan Perdana, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Nerus semalam.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat.

Katanya, majlis meraikan para hufaz itu diharap menjadi pendorong kepada pelajar lain yang belum khatam supaya lebih bersungguh-sungguh dalam menghafal al-Quran.

“Majlis ini juga merupakan salah satu usaha kerajaan negeri memartabatkan hufaz al-Quran sekali gus menjunjung aspirasi maju, berkat dan sejahtera,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon Unit Akademik JPINT untuk mengkaji sijil tahfiz agar anak-anak pelajar mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.