• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

1,781 Notis Kesalahan Merokok Dikeluarkan Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Jun- Sebanyak 1,781 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan nilai tawaran kompaun RM440,200 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata ia adalah peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 943 notis kesalahan dengan nilai tawaran kompaun RM243,550.

Katanya, peningkatan itu susulan kekerapan aktiviti penguatkuasaan yang diadakan tahun ini memandangkan kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi seperti biasa selepas negara memasuki peralihan ke fasa endemik.

"Berbanding tahun lalu, operasi kedai makan dan restoran agak terhad. Kita juga terima banyak aduan daripada orang awam mengenai individu yang masih tidak menghiraukan larangan merokok di kedai makan.

"Kesalahan ini dikesan hasil aktiviti penguatkuasaan terhadap 27,715 premis kawasan larangan merokok di seluruh Terengganu yang dijalankan setakat ini. Kita akan terus memperhebatkan penguatkuasaan untuk melindungi golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap dan wap produk rokok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau aktiviti penguatkuasaan 'Op Gomo Asap Malam' di sini malam tadi.

Seramai 55 anggota digerakkan ke tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang dengan lebih 75 premis diperiksa sepanjang operasi itu.

Antara notis kesalahan yang dikeluarkan merokok di kawasan larangan, gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan.

Dr Kasemani berkata, notis kesalahan tertinggi dikeluarkan adalah di tempat makan atau premis mempunyai pendingin hawa iaitu 775, Taman Rekreasi Batu Buruk (364), kompleks beli-belah (108), bangunan atau tempat permainan kanak-kanak (75) dan premis kerajaan (41). - BERNAMA