• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

18 Mangsa Terperangkap Atas Bumbung Berjaya Diselamatkan

HULU TERENGGANU, 27 Februari - 18 mangsa banjir termasuk bayi dan warga emas yang terperangkap di atas bumbung di Kampung Lubuk Pait kini berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

Salah seorang mangsa, Mohd Saiful Azuar Mohd Amin, 30,  berkata beliau bersama isterinya yang sedang sarat mengandung meluahkan rasa syukur apabila bantuan pasukan penyelamat tiba.

"Saya risau sebab bateri telefon hampir habis. Kami berlima (termasuk ibu bapa dan seorang adik) dah tak ada tempat berlindung. Hanya bertawakal sahaja naik ke bumbung dan berharap kami dapat diselamatkan secepat mungkin.

"Saya minta pertolongan adik, Nor Hafizah Mohd Amin, 28, untuk kongsikan nasib kami ke dalam media sosial sebagai ikhtiar untuk mendapat bantuan segera," katanya yang sudah berada di bumbung hampir sejam dalam keadaan sejuk.

Terdahulu, susulan hujan lebat sejak khamis, beberapa penduduk Kampung Lubuk Pait berhampiran Sekayu di sini terpaksa memanjat siling dan bumbung untuk menyelamatkan diri setelah banjir naik mendadak pagi ini.

Pasukan penyelamat terpaksa mengambil masa untuk ke lokasi kerana banyak jalan yang terputus hubungan dan arus pula terlalu kuat turut membahayakan nyawa mereka.