• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

18 Pasangan Raja Sehari Dirai di Hulu Terengganu


Oleh: Muhammad Najib Ismail
Foto: Hanif Hamdan

HULU TERENGGANU, 17 Ogos - Seramai 18 pasangan pengantin baharu sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Telemong dan Kuala Berang selamat diijab qabulkan di Masjid Kg Bukit Perah, Ajil awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, perkahwinan merupakan suatu kurniaan dan kenikmatan yang dianugerahkan kepada manusia.

" InsyaAllah kehidupan kita akan berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat sekiranya kita mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

"Pasangan hendaklah jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri di samping mempelajari pelbagai ilmu pengurusan rumah tangga dalam meneruskan kehidupan yang baru," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian dan Resepsi Walimatulurus Perdana 2019 Peringkat Hulu Terengganu di Dewan Sivik Ajil, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Tuan Johan  Ibrahim; Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid; Pegawai Agama Daerah, Wan Humaidi Wan Ismail dan Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu.

Menurut Dr Mamad yang juga ADUN Kuala Berang, seramai 194 pasangan berjaya diijab qabulkan di seluruh negeri Terengganu pada pagi ini.

Katanya lagi, ini adalah langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan Negeri Terengganu dengan menganjurkan majlis seperti ini bagi membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan muda yang ingin berkahwin dan dapat mengembangkan syiar Islam.


Tag: