• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

18,061 Rumah Mampu Milik Dibina Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Sebanyak 18,061 Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah siap dibina, sedang dibina dan akan dibina bagi tempoh 2018 hingga 2023 di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, jumlah itu melibatkan keseluruhan lapan daerah di negeri ini.

"RMM yang telah siap diagihkan berjumlah 1,657 unit, dalam proses pembinaan sebanyak 10, 844 unit manakala dalam perancangan pula 5,560 unit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Sementara itu, Dr Alias berkata terdapat 36,177 pemohon RMM  yang telah diterima dalam sistem permohonan RMM negeri Terengganu (eperumahan) sehingga 30 Jun 2022.