• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

181 Pelatih Dirai Dalam Konvokesyen Perantis Jahitan

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Seramai 181 orang pelatih diberikan pengiktirafan dan penganugerahan Sijil Tamat Latihan Pelatih Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun berkata, ilmu dan kemahiran bidang jahitan diceburi akan menajdi penyuntik dalam kehidupan yang bakal diterokai.

Katanya, program itu dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri perantis untuk menghadapi cabaran kerjaya di masa hadapan.

“Sasaran program ini ialah kepada semua pelatih Akademi Jahitan di bawah Program Sistem Latihan Dual Nasional di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

“Daripada segi pembelajaran, SLDN ini berdasarkan persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang melibatkan latihan pakaian wanita tahap satu, dua dan tiga,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Graduasi Perantis Jahitan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu 2020-2022 bertempat di Dewan Teater, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kuala Ibai di sini semalam.

Tambah Alias, penyertaan program latihan SLDN ini adalah terbuka kepada semua belia dan beliawanis di negeri Terengganu.

“Ia melibatkan tempoh latihan selama lapan bulan yang dijalankan di lapan buah Akademi Jahitan di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, program ini memberi keutamaan kepada anak-anak yang berpendapatan rendah dengan syarat minima adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

 


Tag: