• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

186 Sekolah Siap Siaga Jadi PPS Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Sebanyak 186 sekolah menengah dan rendah yang akan dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri sudah dipersiapkan dengan kemasukan barangan untuk mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telahpun bertindak bermula semalam melalui penghantaran barangan ke sekolah terbabit.

Katanya, kesemua sekolah  yang dijadikan PPS nanti mampu menampung seramai 73,490 mangsa banjir seluruh negeri ini.

"Setakat ini, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyediakan 186 sekolah di seluruh Terengganu untuk dijadikan PPS dan boleh menampung kemasukan mangsa banjir tanpa sebarang masalah.

"Kita mahu memastikan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS nanti berada dalam keadaan baik dan bekalan makanan mencukupi," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Sanjungan Budi Jasamu Dikenang di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Satiful berkata beliau percaya JPNT juga sudah melakukan persiapan lebih awal lagi dalam pemilihan sekolah yang dijadikan PPS.