• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

19 Kompaun Premis Dikeluarkan Sepanjang 'Total Lockdown'

KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Sebanyak 664 premis telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dalam tempoh 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Fasa Pertama) yang bermula 1 Jun lalu.

Pengarah KPDNHEP,  Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 19 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Ia membabitkan kesalahan gagal mengamalkan penjarakan fizikal (6 kes), gagal menyediakan peralatan saringan suhu/ merekod butiran diri (2 kes) dan apa-apa aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal dan lain-lain kesalahan (11 kes).

"Kesemua tindakan kes tersebut membabitkan nilai keseluruhan kompaun sebanyak RM173,500," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, di samping pemeriksaan pematuhan SOP rutin yang dilaksanakan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu, pemeriksaan secara bersama juga dilaksanakan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

"Agensi berkenaan termasuklah Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan.

"Pemain industri dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil mudah dengan kepentingan menjaga SOP bagi mengelak risiko jangkitan dan pengwujudan kluster baharu Covid-19.

"Sekiranya berlaku penularan, ia sekali gus akan merencatkan serta menyukarkan usaha pemulihan ekonomi, sektor perniagaan dan perdagangan domestik," jelasnya.

Premis perniagaan hendaklah memainkan peranan mereka seperti menampal notis jumlah had pelanggan yang dibenarkan di pintu masuk premis, menyediakan alat pengimbas suhu, buku rekod pelanggan, kod QR MySejahtera dan melakukan penilaian risiko terhadap pelanggan melalui semakan suhu badan.

"Serta memastikan hanya pelanggan dengan status 'Low Risk' dalam MySejahtera sahaja yang dibenarkan masuk ke kompleks / premis masing-masing.

"KPDNHEP Terengganu ingin menegaskan bahawa individu yang didapati melanggar SOP yang ditetapkan akan dikenakan tindakan berdasarkan kuasa yang telah diberikan di bawah Akta 342," tegasnya.


Tag: