• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

192 Kawasan Berisiko Banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 September-  Sebanyak 192 kawasan disenaraikan sebagai titik panas atau ‘hotspot’  berlakunya bencana banjir  di Terengganu sekiranya berlaku pertembungan fenomena air pasang besar berserta hujan lebat sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Hassan As'ari Omar berkata, daerah Kemaman merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 39 lokasi diikuti daerah Dungun (32 kawasan) dan Besut (29 kawasan) dan Hulu Terengganu (29 kawasan).

Menurutnya, sebanyak 27 kawasan lagi dikenal pasti di Marang, Setiu (21 kawasan) dan Kuala Terengganu /Kuala Nerus (15 kawasan).

"Kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat.

"Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu.
"Selain itu, kita turut memberi tumpuan khusus di daerah Hulu Terengganu yang dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir selain daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman," katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Hassan As'ari berkata, seramai 690 pegawai dan anggota termasuk aset sudah bersiap sedia berdepan banjir, yang dijangka berlaku lebih awal, tahun ini.

“Seramai 287 anggota membabitkan 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) juga akan digerakkan untuk membantu operasi di kawasan-kawasan yang agak jauh bagi memudahkan pergerakan menyelamat nanti,”katanya.