• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

194 Pasangan Kahwin Serentak Di Terengganu


SETIU, 17 Ogos -  Sebanyak 194 pasangan pengantin di seluruh daerah Terengganu dinikahkan serentak sempena program Walimatulurus Perdana 2019 hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak  RM776,000 kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) untuk menjayakan acara tahunan berkenaan.

Jelasnya, ia menjadikan setiap pasangan diperuntukkan sejumlah RM 4,000 termasuk satu set persalinan pakaian semasa akad nikah dan pakej perkahwinan.

"Inisiatif ini adalah bertujuan untuk memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu yang belum berumah tangga terutamanya kepada anak-anak muda.

"Kita faham kekangan yang mereka hadapi ini pelbagai, ada perkara yang kita boleh usahakan di peringkat kerajaan yang sepatutnya direbut oleh rakyat negeri ini," ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Resepsi Walimatulurus Perdana 2019 Peringkat Parlimen Setiu, di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, di sini hari ini.

Turut hadir, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar dan Ahli Parlimen Setiu, Mohd Shaharizukirnain Abd Kadir.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan, program seumpama itu sememangnya sangat membantu kebanyakkan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Katanya, permohonan untuk menyertai perkahwinan perdana itu sentiasa bertambah dan menyebabkan kerajaan terpaksa menerokai inisiatif baharu.

"Selepas ini kita akan adakan lagi, kita menjangkakan sebelum berakhir tahun ini, penghujung tahun ini.

"Kita akan buka balik permohonan nanti, dan daripada senarai nama itu, kita akan buat lagi program seperti ini, insya-Allah," tambah beliau.


Tag: