• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

1,949 Notis Dikeluarkan Terhadap Perokok Di Terengganu Tahun Lepas

KUALA TERENGGANU, 17 Februari– Sebanyak 1,949 notis kepada individu atas kesalahan merokok di kawasan larangan dalam operasi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di seluruh negeri ini sepanjang tahun 2021.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, notis 32b di bawah peraturan 11(1) dan 22(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu melibatkan kompaun keseluruhan bernilai RM266,875.

"Kesalahan tertinggi dikesan di Dungun dengan sebanyak 370 kompaun dikeluarkan diikuti Kemaman (214 kompaun), Marang (163 kompaun), Hulu Terengganu (85 kompaun), Setiu (63 kompaun), Besut (51 kompaun),  Kuala Terengganu (46 kompaun) dan Kuala Nerus (24 kompaun).

“Bagaimanapun, kesemua kompaun itu sudah diselesaikan dengan melibatkan pembayaran sebanyak RM178,971," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sepanjang tempoh 12 bulan operasi diadakan, seramai 73 anggota penguatkuasa JKNT di lapan daerah telah memeriksa 33,127 premis dan mengeluarkan notis kepada individu serta premis dikesan melanggar peraturan.

“Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan dengan tidak merokok di kawasan larangan merokok bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Ia juga untuk melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok basi,” katanya.

Kasemani berkata, pada 2020, sebanyak 1,820 kompaun di samping 3,226 notis 32B dikeluarkan melibatkan nilai RM425,200.