• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

2 ADUN, Ahli Parlimen Kemaman Agih 1,636 Pek Ayam

Kemaman, 29 julai - Sebanyak 1,636 pek ayam mentah telah diagihkan kepada penduduk Cheneh & Neram 2 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebagai usaha menjaga kebajikan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, inisiatif tersebut dilakukan kerana menyedari mereka menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan dalam meneruskan kehidupan seharian setelah dikenakan PKPD sejak 21 Julai lalu.

“Agihan ayam pada hari ini berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan untuk lauk pauk memandangkan pergerakan mereka yang terhad. Walaupun seorang daripada satu keluarga dibenarkan keluar, itu pun kalau di kawasan ini tiada barang yang amat diperlukan dan perlu mendapat kebenaran pegawai bertugas di pondok sekatan,” katanya selepas agihan tersebut berjalan, kelmarin.

Menurutnya, PKPD yang akan berakhir pada 3 Ogos itu, melibatkan lima buah kampung dan seramai 1,636 keluarga di Bandar Cheneh Baharu, Peringkat 4, Peringkat 3B Neram 2, Felda Neram 2 Kampung Baru Neram 2 dan Seri Damai.

“Jadi diharapkan mereka banyak bersabar apatah lagi terpaksa berhari raya dalam tempoh PKPD kerana ini adalah untuk kebaikan kita bersama untuk mencegah penularan pandemik COVID-19,” ujarnya lagi.

Mewakili Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kemaman dan Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat di atas sumbangan berkenaan.


Tag: