• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

2 Inisiatif Baharu Kebajikan Pelajar Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Terengganu terus memperkasakan agenda kebajikan kepada rakyatnya dalam mengharungi pandemik dengan memperkenalkan inisiatif baharu dalam Pelan Adaptasi Pandemik Covid-19 Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, inisiatif tersebut diusahakan memandangkan pembelajaran secara fizikal di sekolah akan dibuka dalam tempoh terdekat terutamanya kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.

"Kerajaan berhasrat untuk memberikan bantuan persekolahan secara tunai kepada golongan yang terjejas sebanyak RM 100 (maksimum untuk dua orang dalam satu keluarga) bagi meringankan beban golongan yang berpendapatan rendah.

"Bantuan ini dijangka akan diagihkan melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bermula bulan Ogos 2021 setelah melepasi fasa ketiga mengikut Pelan Pemulihan Negara.

"Bantuan ini melibatkan jumlah keseluruhan yang bernilai RM7 juta yang memfokuskan kepada keluarga daripada kalangan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman.

Selain itu, Terengganu juga akan menyediakan video pendidikan interaktif dan islamik di media sosial kerajaan negeri bagi memastikan pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran di rumah dengan baik.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama Manis FM, JPINT (Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu) dan Rabitah akan mewujudkan video tersebut untuk manfaat para pelajar yang menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Ini antara usaha kita, supaya para pelajar yang menjalani PdPR dapat meningkatkan ilmu mereka melalui program-program yang akan dirancang," jelasnya.


Tag: