• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

20 Tangki Statik Elakkan Terputus Bekalan Air Di Seberang Takir

KUALA NERUS, 7 Ogos – Kerja membekalkan sumber air kepada penduduk terjejas di daerah Kuala Nerus diteruskan dengan mengerahkan jentera lori dan tangki statik di Seberang Takir.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya melancarkan bilik gerakan bagi menghantar bantuan air ke tujuh buah kampung di kawasannya, sebaik sahaja berlaku krisis masalah gangguan bekalan asas itu sejak Isnin lepas,

“Alhamdulillah, setakat ini 20 tangki statik berjaya diletakkan di lokasi yang dikenalpasti supaya sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan asas masyarakat, atau kira-kira 3745 buah rumah terkesan.

“Antaranya ialah Kampung Kubang Badak, Kampung Tok Jembal, Kampung Pak Tijah, Kampung Tanjung Jaafar, Kampung Telaga Batin, Kampung Jati dan Kampung Wakaf Baru,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.

Tambah Mohd Fadhil lagi, 10 buah lori termasuk trak pikap menjadi pengangkutan bagi menghantar sumber air kepada penduduk terkesan.

"Kita turut menerima ramai sukarelawan yang bersedia berkhidmat dalam menyampaikan keperluan asas itu kepada mana-mana keluarga yang memerlukan di sini” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Ahmad Afini Ahmad, 32 berkata, dia merasa terpanggil apabila mendengar isu dan kesusahan dihadapi komunitinya itu.

"Pada hari biasa saya bekerja seperti biasa, tetapi buat masa ini saya ambil keputusan untuk berkhidmat dari siang hingga malam in sehingga kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu selesai," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sedang diatasi dengan kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijangka siap pada Rabu depan.