• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

20 Unit Rumah PPTS Bakal Dibina Di Taman Rahmat Tahun Ini

MARANG, 2 Jun – Sebanyak 20 unit rumah di bawah Skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) bakal dibina di Perkampungan Taman Rahmat di sini, tahun ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Samiun Salleh berkata, pembinaan perumahan secara berkelompok yang lebih selesa di kawasan tersebut bertujuan menjamin kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dan mempunyai masalah tempat tinggal seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal bermasalah.

Katanya, projek pembinaan rumah baharu di Taman Rahmat seperti yang dirancang adalah sebanyak 50 buah unit rumah secara berperingkat.

“Fasa pertama pembinaan pada tahun 2014 dimana 10 buah rumah kayu telah dirobohkan dan telah dibina rumah model Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tapak asal.

“Majlis penyerahan kunci hari ini pula adalah binaan 10 unit rumah model PPRT fasa kedua di tapak baru yang mula dibina pada tahun 2018 dan dikenali sebagai PPTS dan tahun ini, kita akan laksanakan pembinaan 20 unit rumah lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah PPTS Taman Rahmat yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Kerengga, hari ini.

Sementara itu, seorang penerima, Puteh Embong, 60, tidak menduga dapat tinggal bersama dua anaknya di rumah yang lebih selesa.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan rezeki ini memandangkan rumah lama telah uzur serta banyak kerosakan.

“Jika tidak ada program seumpama ini, mana mungkin golongan tidak berkemampuan seperti saya dapat tinggal di rumah yang lebih selesa," ujarnya yang merupakan OKU fizikal yang telah kematian suami empat tahun lalu.