• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

200 Asnaf dan Anak Yatim Dirai Sempena Ramadan

KUALA NERUS, 25 April - Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak yatim dan asnaf dari Kuala Nerus apabila menerima sumbangan Infaq Ramadan serta bakul barangan asas yang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Seramai 200 orang anak yatim dan asnaf dari Kuala Nerus yang merangkumi 25 orang anak yatim dan 25 orang asnaf dari setiap empat buah Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Kuala Nerus telah menghadiri majlis penyerahan sumbangan dan majlis berbuka puasa berkenaan.

Diadakan di Duyong Marina, majlis itu turut dihadiri wakil Malaysian Palm Oil Association (MPOC) dan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) ybagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf serta dalam masa yang sama mempromosikan kecemerlangan industri minyak sawit di Malaysia.

Menurut Dr Khairuddin, sumbangan itu turut disumbangkan oleh MPOC dan PORAM .

"Kita berharap sumbangan yang diadakan hari ini dapat meningkatkan lagi siri-siri infaq Ramadan kerana sememangnya Ramadhan terkenal dengan bulan infaq," katanya.

Dalam pada masa yang sama, majlis turut meraikan seorang pelajar cemerlang dari Felda Tengkawan Kuala Berang, Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, yang telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik Malaysia serta ketujuh terbaik dunia dalam Peperiksaan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dalam subjek Laporan Perniagaan Strategik. 

Nurul Fatin Nabihah ketika ditemubual turut menyatakan rasa terima kasih atas saguhati yang diberikan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dr Khairuddin atas saguhati yang diberikan dan berharap semoga generasi kini mampu berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa dekatkan diri kepada Allah bagi mencapai kejayaan," ujarnya.

Beliau telah menerima saguhati sebanyak RM2,000 dari Dr Khairuddin atas kejayaan yang telah diperoleh serta telah mengharumkan nama sebagai seorang anak kelahiran felda dan Malaysia.


Tag: