• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

200 Perangkap Nyamuk Dipasang Di Kampung Masjid Haji Kadir

Perangkap nyamuk diletakkan di salah sebuah rumah.

 

 

 

 
 
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Sebanyak 200 perangkap nyamuk berjaya dipasang di kawasan Kampung Masjid Haji Kadir bagi mengurangkan populasi nyamuk Aedes di kawasan itu, hari ini.
 
Perangkap nyamuk ‘Mosquito Home’ yang dicipta hasil kerjasama antara syarikat dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dipasang sebagai salah satu kajian pemantauan dalam membangun kaedah kawalan nyamuk Aedes di Malaysia.
 
Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMT, Profesor Madya TS Dr. Mustafa Man memaklumkan, kajian produk itu telah berjaya dijalankan di beberapa negeri sejak enam tahun lepas dan masuk ke pasaran bermula tahun lepas.
Dr. Mustafa sewaktu memberikan penerangan.
“ Kita tidak menyatakan 100 peratus keberhasilan, tetapi ia berjaya mengurangkan densiti nyamuk Aedes di persekitaran dan boleh dikatakan amat memuaskan,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kampung tersebut, hari ini.
 
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar serta Pengarah Kesihatan Kuala Terengganu, Dr. Fatimah Muda.
Dato' Tengku Hassan menerima penerangan daripada Dr. Mustafa berkaitan Mosquito Home sambil diperhatikan Dr Fatimah  (bertudung).
 
 
Dalam program tersebut,  Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menumpukan sesi taklimat terbuka serta menjelajah dari rumah ke rumah untuk pemasangan perangkap nyamuk.
 
Dr. Mustafa juga mengharapkan sokongan daripada masyarakat terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan penggunaan produk berkenaan sebagai alternatif kawalan nyamuk sedia ada.
 
“Ini adalah hasil produk Malaysia, dibuat oleh pakar-pakar di Malaysia dan diformulasikan di sini. Maka, kami mengharapkan sokongan ramai lebih-lebih lagi ia telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
 
 

 


Tag: