• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

200 Sekolah Dijadikan PPS

DUNGUN, 8 Disember - Sebagai persediaan menghadapi banjir pada kali ini, 200 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini bersiap sedia bagi dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa bencana tersebut.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat di peringkat negeri, daerah dan setiap sekolah terlibat agar bersiap sedia untuk menerima mangsa banjir nanti.

"Kita juga akan benarkan asrama sekolah digunakan untuk kegunaan mangsa banjir sekiranya tidak berpenghuni ketika banjir melanda," katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Murid-Murid Sekolah Rendah Daerah Dungun bersama Hibiscus Petroleum, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu pihaknya telah turut mengenal pasti beberapa buah sekolah yang sering ditengelami banjir membabitkan beberapa daerah termasuk Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

"Sekolah yang berada di kawasan rendah ini diarahkan bersiap sedia untuk menempatkan barang di tempat yang tinggi, sekiranya berlaku ketika sesi persekolahan alternatif lain termasuk (akan) memberikan cuti peristiwa untuk pelajar.

"Manakala guru yang terlibat bencana banjir, perlu melapor diri di Pejabat Pendidikan daerah terdekat atau sekolah berhampiran,"ujarnya lagi.