• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

200 Sukarelawan T-Volt Diatur ke Misi Pasca Banjir

BESUT, 24 Disember - Pasukan sukarelawan Terengganu Volunteer (T-Volt) seramai 200 orang mula digerakkan ke kawasan terjejas banjir bagi operasi gotong-royong pasca banjir sejak semalam.

T-Volt yang dikelola kerajaan negeri itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan sepanjang seminggu tempoh pendaftaran. 

Pegawai Seranta (Unit Belia) Urus Setia Belia Sukan dan NGO (UBSNT), Syed Abdus Salam Syed Nazmi berkata, perancangan pergerakan T-Volt ini telah bermula sejak sebelum banjir melanda negeri ini. 

“Hari ini kita adakan misi bantuan pasca banjir di Besut dengan pecahan kepada tiga kumpulan di lokasi yang berbeza. 

“Perancangan ini sudah kita susun dan bersedia daripada awal kerana kita maklum setiap hujung tahun kita hadapi musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di Misi Bantuan Pasca Banjir 2022 di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah, Besut hari ini. 
 

Beliau turut berkata, kerajaan negeri sudah mewartakan peruntukan khas bagi persediaan menghadapi musim banjir terutamanya bagi misi bantuan pasca banjir. 

Pasukan sukarelawan terdiri daripada beberapa entiti antaranya T-Volt bawah UBSNT dengan kerjasama Majlis Muafakat NGO Terengganu, Al-Azhar Care dan juga sukarelawan persedirian.

Misi bantuan pasca banjir T-Volt dijangka akan ke semua daerah yang terlibat bencana banjir bagi membantu mangsa melakukan operasi cucian dalam tempoh terdekat ini.

 


Tag: