• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

2,000 Pek Daging Sejuk Beku Untuk Rakyat Kijal

Oleh : Mujahid MK

KEMAMAN, 11 Julai - Kali ini Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal membawa sedikit kelainan dalam membantu rakyat DUN Kijal yang terkesan akibat Pandemik Covid-19 apabila mengagihkan 2,000 pek daging sejuk beku import.

Daging tersebut diserahkan kepada setiap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Kijal mewakili 26 buah kampung untuk diagihkan kepada komuniti di kawasan kampung masing-masing.

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika ditemui di Kompleks Paya Lasir, Kijal kelmarin berkata, bantuan daging mentah itu adalah menu tambahan selain barangan keperluan lain untuk warga Kijal.

Katanya, beliau mengharapkan sumbangan fasa ke dua itu memberi manfaat kepada mereka yang terjejas.

Hazri Jusoh (kiri) bersama pembekal daging dan Adnan Mohamad

“Kami berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan ini, mampu menceriakan warga Kijal dan dapat meringankan sedikit beban golongan terkesan disebabkan pandemik Covid-19

"Bantuan fasa ke dua ini adalah kesinambungan daripada program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu tempohari berjumlah RM6.4 juta keseluruhanya untuk rakyat negeri Terengganu yang terkesan," ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kijal Zakaria Che Soh, Setiausaha MTD Adnan Mohamad, Ketua Kebajikan MTD Zawawi Mohamed dan Ahli Jawatankuasa MTD Kijal.

Daging itu dibekalkan oleh Koperasi Indah Raya Kemaman Berhad (KOINDAH) dengan daging import yang bermutu tinggi dan dijamin halal dari Pakistan.

Hazri Jusoh bersama barangan yang diagihkan.

 


Tag: