• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

2022 Jadi Tahun Semarak Dakwah- Mohd Nor

KUALA TERENGGANU, 7 Februari- Kerajaan negeri optimis dengan pendekatan tersusun yang diatur dan kerjasama semua pihak, 2022 akan menjadi tahun semarak dakwah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, fokus utama adalah untuk membangunkan manusia mengikut panduan Islam.

“Kerja dakwah adalah paling penting dan kita yang diberi amanah perlu masukkan roh Islam dalam semua perkara termasuk menyusun program-program untuk beri kesedaran dan mendidik masyarakat tentang peranan seorang muslim.

“Moga kita semua kembali bangkit dan penuh bersemangat untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang ada terutamanya dibawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat kepada kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) sempena Program Budaya Kerja Intqan Insani di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.

Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kamaruzaman Abdullah.

Mohd Nor berkata, beliau turut meminta masjid-masjid di negeri ini memperbanyakkan program semarak dakwah.

“Insyaallah kita akan lancarkan program semarak dakwah awal Mac ini dan pelbagai pengisian telah dirancang.

“Termasuk bulan penghayatan solat, Terengganu Hijab Day, Ops Kapel dan pelbagai lagi,” ujarnya.