• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

2,056 Guru SPM, STPM Di Terengganu Sudah Divaksin

KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Seramai 2,056 guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima dan Enam di sekolah menengah di negeri ini telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin setakat Jun.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, jumlah itu melibatkan 57 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu 3,569 guru yang mengajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Daripada jumlah guru sudah divaksin itu, 1,589 orang adalah guru Tingkatan Lima manakala 467 orang lagi cikgu yang mengajar Tingkatan Enam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menerima sumbangan berjumlah RM341,000 daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris untuk diagihkan kepada 341 pelajar cemerlang SPM 2020 negeri ini.

Dalam majlis tersebut, Ketengah telah menyumbangkan RM1,000 seorang bagi membantu pelajar cemerlang SPM melakukan persediaan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lebih-lebih lagi di saat pandemik Covid-19.

Tambah Salim, proses vaksinasi akan berterusan sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula.

“Selain guru, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga sudah mengambil data pelajar Tingkatan Lima dan Enam negeri ini sebagai persediaan suntikan vaksin Covid-19. Ia melibatkan lebih 20,000 pelajar,” katanya.