• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

20,691 Warga Emas Sudah Terima Bantuan Pencen Rakyat

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Seramai 20,691 warga emas di negeri ini telah menerima bayaran pertama Bantuan Pencen Rakyat membabitkan peruntukan sebanyak RM6,207,300.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bayaran kedua akan diagihkan pada sekitar Ogos tahun ini menjadikan jumlah agihan keseluruhan bernilai RM12,378,600.

"Untuk bayaran pertama mengikut pecahan setiap daerah di Kuala Terengganu membabitkan 1,799 penerima dengan kos RM539,700, Kemaman 3,718 orang (RM1,115,400), Dungun 1,624 orang (RM487,200), Besut 2,798 orang (RM839,400).

"Bagi Hulu Terengganu pula 3,424 orang telah terima (RM1,027,200), Marang 2,437 orang (RM731,100) manakala Setiu 2,809 orang (RM842,700) serta Kuala Nerus pula 2,082 orang (RM624,600)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan (PAS), Sulaiman Sulong, ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman (BN) dan ADUN Kuala Besut (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Bagi tahun ini kata Hanafiah, permohonan baharu akan dibuka pada April bagi memastikan mereka yang memenuhi kriteria tiada tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

"Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) akan membuat surat arahan pada pejabat daerah untuk mengemukakan kembali kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) untuk mencari nama baharu yang baru memasuki umur 60 tahun ataupun yang tercicir sebelum ini.

"Atau mereka yang layak boleh memohon terus ke pejabat daerah melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ataupun melalui Pusat Khidmat Masyarakat atau pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS)," ujarnya.

Mengulas lebih lanjut katanya, pelaksanaan program tersebut ternyata memberi kesan dan impak yang cukup positif kepada rakyat di negeri ini.

"Juga dia ntara objektif pelaksanaannya adalah untuk membantu mengurangkan bebanan warga emas ini dari sudut kewangan untuk menampung perbelanjaan mereka," ujarnya.

Bantuan pencen rakyat untuk warga emas sebanyak RM600 setahun merupakan manifesto PAS pada PRU-14 lalu.

 

 

 


Tag: