• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

207 Mangsa Banjir di Dua PPS Kuala Nerus

Oleh: Zuhdi Abdullah

KUALA NERUS, 11 Disember – Seramai 207 mangsa banjir didaftarkan masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran beberapa kawasan sekitar Kuala Nerus telah dinaiki air bermula semalam. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak menyatakan mangsa terdiri daripada 51 buah keluarga dan ditempatan di dua PPS yang beroperasi setakat ini.

"Sehingga hari ini (semalam) dua buah PPS di Kuala Nerus telah menerima mangsa banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal melibatkan 133 mangsa dan SK Bukit Nenas (74).

"SK Tok Jembal menempatkan seramai 33 buah keluarga manakala SK Bukit Nenas pula daripada 18 buah keluarga," katanya selepas menyantuni PPS semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri turut mengingatkan kepada semua rakyat Terengganu agar waspada dengan mematuhi arahan sekiranya perlu berpindah ke PPS.

“Keadaan cuaca hujan yang berterusan ini berkemungkinan bilangan mangsa akan bertambah, maka sila patuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa waspada dengan maklumat terkini berkenaan banjir di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Sehingga hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu melaporkan sebanyak 7 buah PPS telah dibuka melibatkan seramai 546 mangsa di negeri ini.

Terengganu dijangka menghadapi taburan hujan yang tinggi apabila Monsun Timur Laut bermula sejak Khamis lalu.


Tag: