• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

2,144 Pesakit Mental Terima Rawatan Tahun Lepas

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Seramai 2,144 individu telah mendaftar dan mendapat rawatan sebagai pesakit mental  di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di Terengganu sepanjang tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata namun berlaku sedikit penurunan pada tahun ini apabila data menunjukkan seramai 1,797 pesakit mendapatkan rawatan sama sehingga September lalu. 

Katanya, sehingga kini terdapat dua buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di Terengganu iaitu di Wakaf Tapai dan di Hospital Sultanah Nur Zahirah

"Kedua-duanya menawarkan perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan serta pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri.

"Ini termasuk Perkhidmatan Klinik  Minda Sihat di semua klinik kesihatan yang telah ditambah baik dan dikendalikan oleh pegawai terlatih," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Psikiatri, Hosptal Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut melaporkan bahawa kemurungan adalah salah satu penyebab utama ketidakupayaan seseorang individu

Dalam masa yang sama Kasemani berkata, JKNT  turut melaksanakan advokasi Let’s TALK Minda Sihat secara menyeluruh melibatkan media massa, media sosial dan agensi lain. 

"Kempen ini merupakan kolaborasi pintar (smart partnership) bersama agensi-agensi kerajaan, dan NGO dalam usaha mempertingkatkan kesedaran kesihatan mental secara meluas bagi mengatasi stigma terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

"Ia juga merupakan salah satu usaha KKM mendidik masyarakat agar lebih terbuka dalam membincangkan perkara berkaitan kesihatan mental, menghapuskan stigma serta menggalakkan masyarakat lebih mengambil tahu tentang masalah dan penyakit mental,"katanya.