• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

216 Permohonan Rentas Negeri Ditolak Polis Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Sebanyak 216 permohonan rentas negeri telah ditolak polis Terengganu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh 1 Jun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, ia ditolak kerana pemohon tiada dokumen sokongan, menyalah guna surat bekerja dan gagal mengemukakan alasan munasabah.

“Polis Terengganu telah menerima 5,756 permohonan merentas negeri atas pelbagai alasan sejak PKP penuh dikuatkuasa.

“Kebanyakan permohonan yang diluluskan ialah pekerja sektor perkhidmatan perlu dan memiliki surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya selepas meninjau SJR Jambatan Sultan Mahmud di sini hari ini.

Mengulas mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, beliau berkata, pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kadar pematuhan dalam kalangan rakyat negeri ini pada tahap 96 peratus.

“Berdasarkan pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri terutama di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), bilangan kenderaan yang memasuki Terengganu sejak PKP Penuh berkurangan sebanyak 75 peratus,” ujarnya.


 


Tag: