• 27 Sept 2022 | 1 Rabiul Awal 1444

22 Lokasi Berisiko Kepala Air Di Terengganu

SETIU, 5 September- Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu mengenal pasti 22 pusat peranginan dan perkelahan di seluruh negeri yang berisiko dilanda fenomena kepala air.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid seperti yang dipetik dalam laporan Bernama memaklumkan, antara lokasi terbabit ialah Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark di Besut.

"Di Setiu pula, lokasi yang dikenal pasti ialah Lata Ulu Kasar, Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah dan Lata Payung manakala di Hulu Terengganu pula Air Terjun Sekayu, Air Terjun Juwita, Air Terjun Soak, Air Terjun Lasir dan Air Terjun Belukar Bukit. 

"Selain itu, kita juga kenal pasti kawasan di Dungun yang berisiko iaitu Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lubuk Kain. Di Kemaman pula ialah Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Puteh dan Sungai Cherul," katanya kepada pemberita semalam selepas meninjau keadaan di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong yang dilanda fenomena kepala air pada Jumaat lepas.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengunjung ke kawasan rekreasi air supaya peka terhadap empat petanda awal fenomena tersebut iaitu bunyi deruan air yang kuat, perubahan air daripada jernih kepada keruh, air menjadi berbuih serta membawa sampah dan peningkatan paras air secara mendadak.

Md Hilman berkata, jika pengunjung dapat mengenal pasti satu daripada petanda awal itu, mereka akan sempat menyelamatkan diri sekiranya fenomena kepala air berlaku.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi berisiko diseru supaya meletakkan papan tanda mengenai bahaya kepala air dan petanda awal fenomena itu.

"Tetapi kita pun tidak boleh harapkan PBT atau pihak berkuasa semata-mata untuk sentiasa mengingatkan orang ramai... Orang ramai perlu jaga diri sendiri dan berada dalam keadaan peka setiap masa. Kalau tengok kejadian pada Jumaat lepas, ada pengunjung meletakkan kenderaan di atas laluan air, jadi sudah tentu mereka tidak akan sempat menyelamatkan kenderaan padahal PBT telah menyediakan parkir di kawasan yang lebih selamat," katanya.

Jumaat lepas, seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata insiden pada kira-kira 5.30 petang itu menyaksikan fenomena kepala air melanda tempat orang ramai beriadah, mandi-manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.