• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

22 Produk Usahawan Negeri Sertai Malaysia Fest 2019 Singapura



Oleh: Ahmad Mawardi

KUALA TERENGGANU, 28 Julai- Sebanyak 22 produk usahawan Negeri Terengganu menyertai pameran Ekspo Malaysia Fest 2019 di Dewan Ekspo Singapura selama empat hari berakhir hari ini.

Timbalan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun berkata, antara produk yang diketengahkan termasuk rempah ratus, produk proses, makanan, kuih-muih, cenderahati dan fesyen.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri dengan kerjasama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut membawa lapan usahawan ke festival berkenaan.

“Ekspo Malaysia Fest Singapore 2019 ini merupakan platform perniagaan untuk memberi peluang kepada usahawan Terengganu menerokai dan mempromosikan produk negeri ke pasaran antarabangsa.

“Ini kerana negara Singapura mempunyai ‘standard’ yang amat tinggi untuk menerima produk luar masuk ke pasaran mereka,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi Pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melawat gerai usahawan Terengganu di pameran tersebut, semalam.

Katanya, beliau berharap agar usahawan Terengganu dapat menghasilkan lebih banyak produk untuk pasaran Singapura

“Antara yang mengambil bahagian dalam pameran ini termasuk Rempah Cap Bunga Rose, Keropok Lekor Vacuum, Nasi Dagang Vintage, Ketupat Palas, Kueh Keria Viral Ganu, Patin Tempoyak Claypot Koi, Telekung Solat Exclusive dan lain-lain,” ujarnya.

Tag: