• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

2,340 Karton Air Diagih Kepada 550 Keluarga Di Kem PGA

KUALA NERUS, 2 September - Kerajaan negeri menyalurkan 2,340 karton air minuman kepada 550 buah keluarga di Kem PGA Batalion 9 Kubang Badak yang terjejas ekoran krisis air yang bermula sejak minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata bantuan segera yang disalurkan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri dan penyelaras kawasan terbabit merupakan sebahagian daripada peruntukan RM1.25 juta.

“Kita akan pastikan bekalan air ini dihantar dengan kekerapan yang sesuai kepada semua penduduk di kawasan terlibat supaya mereka mendapat bekalan air minuman termasuk bekalan air bersih.

“Jika ada penduduk yang tertinggal bantuan atau terlepas pandang, mereka boleh laporkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing dan kita akan pastikan mereka menerima bantuan tersebut,” ujarnya,

Beliau berkata demikian selepas agihan air minuman ke Kem PGA Batalion 9 Kubang Badak, di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Nor Azizan Yusof berkata pihaknya cukup berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan sepanjang berlakunya krisis air kali kedua.

"Alhamdulillah, kami di sini tidak pernah terputus bekalan air minuman dan air bersih sepanjang dalam tempoh bekalan air terputus di kawasan isejak minggu lepas.

"Setiap hari, pihak Jabatan Amal dan pejabat penyelaras Dewan Undangan Seberang Takir akan menghantar bekalan air untuk keperluan kami di kem ini," ujarnya.