• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

23,766 Anggota Polis Positif COVID-19

MARANG, 5 Disember - Seramai 23,766 anggota polis di negara ini termasuk ahli keluarga mereka direkodkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu hingga kini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 13,508 kes melibatkan pegawai dan anggota manakala 10,258 kes melibatkan ahli keluarga mereka.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh berkenaan 39 kematian direkodkan membabitkan anggota dan ahli keluarga.

"Empat daripadanya merupakan pegawai kanan polis manakala 35 yang lain adalah pegawai rendah.

“Jumlah itu tidak termasuk tiga kematian yang membabitkan pegawai awam dan 118 ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan 26 kereta Toyota Hilux GS Cargo kepada polis Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Beliau berkata, jangkitan dalam kalangan warga PDRM berlaku ketika kes Covid-19 memuncak di negara dalam tempoh dua tahun.

Pada majlis itu, sebanyak  26 pikap Toyota Hilux GS Cargo  di serahkan bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri.

"Ia bagi membantu meringankan penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir," katanya lagi.