• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

238 RMM Bakal Dibina Di Bukit Gasing

MARANG, 30 Mac - Sebanyak 238 Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina di atas tanah seluas 7.36 hektar di Kampung Bukit Gasing di sini dalam masa terdekat.

Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, PBH Trading & Contraction Sdn. Bhd merupakan kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek dengan harga kontrak RM34 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, RMM Bukit Gasing II merupakan projek perintis kerajaan negeri yang menawarkan dua kategori rumah teres iaitu RMM jenis A sebanyak 173 unit dan RMM jenis B melibatkan 65 unit.

“Rumah jenis A berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan dua  bilik air mendapat pembiayaan sewa beli daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan dijual dengan harga RM80,000 untuk golongan B40 yang berpendapatan isi rumah RM3,500 ke bawah.

“Manakala RMM jenis B yang yang berkeluasan bersih 900 kaki persegi akan memberikan peluang kepada rakyat negeri Terengganu berpendapatan sederhana iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah sehingga RM 7,000 untuk memiliki rumah sendiri pada kadar harga jualan ditetapkan RM185,000 melalui bank komersial,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak RMM Bukit Gasing II, hari ini.

Katanya, projek pembangunan perumahan mampu milik di Bukit Gasing ini juga akan dibina berdasarkan ciri-ciri dan spesifikasi untuk konsep perumahan patuh syariah yang dinamakan sebagai Rumah Darul Iman (RAHMAN).