• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

2.4 Juta Kenderaan Dijangka Pulang Ke Pantai Timur

KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Anih Berhad menjangkakan 1,648,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) manakala 704,000 kenderaan lagi di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, penambahan kira-kira 2.4 juta kenderaan itu berikutan orang ramai mengambil peluang bagi menyempurnakan ibadah korban dan pulang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang.

Katanya, berdasarkan trend hujung minggu yang stabil sejak awal tahun ini, purata harian hujung minggu bagi Lebuhraya KLK adalah sebanyak 161,000 kenderaan manakala jumlah kenderaan di LPT1 pula direkodkan sebanyak 65,000 kenderaan.

"Perayaan Aidiladha merupakan kali ke-3 rakyat Malaysia berpeluang pulang ke kampung halaman masing-masing sejak negara memasuki fasa endemik tahun ini.

"Sungguhpun begitu, demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan”, katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya percaya pengguna lebuh raya kini lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang Aidiladha tahun ini.

“Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Anih Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini, ialah penambahan petugas-petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.

"Selain itu, ia membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkatkan tahap persediaan di semua fasiliti lebuh raya termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua hentian sebelah dan kawasan rehat," tambahnya.

Dalam pada itu, Anih Berhad tetap ingin mengingatkan pengguna untuk memandu dengan berhemah, memastikan keadaan kenderaan optimum, baki e-wallet, Touch n' Go dan SmartTag yang mencukupi di samping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

Untuk maklumat tepat dan terkini lebuhraya KLK dan LPT1, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/Anih Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-788-7752 dan LPT - Line di 1-700-818-700.