• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

242 Individu Ditahan Ingkar PKP Fasa Satu, Dua Di Terengganu

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik

KUALA TERENGGANU, 15 April -Seramai 242 individu ditahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua yang berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu hingga semalam di Terengganu.

Daripada jumlah itu, seramai 80 individu ditahan pada PKP fasa satu dan selebihnya 162 individu ditahan pada PKP fasa dua yang berakhir semalam.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, masih ada lagi individu yang degil dengan memberi alasan tidak masuk akal untuk berada di luar rumah tanpa alasan munasabah.

"Ada antara individu yang ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) lebih tiga kali sehari dengan memberi alasan sama sahaja konon hendak membeli makanan dan barang keperluan.

"Malah, lebih menyedihkan dalam rondaan terutama di kawasan kampung, ada individu yang selamba 'melepak' seperti hari-hari biasa dan apabila ditanya, mereka menjawab sekejap sahaja," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Roslee berkata, daerah Kemaman mencatatkan jumlah ingkar PKP tertinggi sehingga fasa dua iaitu 90 individu diikuti Kuala Terengganu seramai 59 individu.

Katanya, bagi tempoh PKP fasa dua, sebanyak 264 notis kompaun dikeluarkan daripada 175 laporan polis diterima kerana kesalahan ingkar PKP iaitu bermula pada 8 April hingga semalam.

Tambah beliau, sehingga semalam, sebanyak 173 kertas siasatan berkait kesalahan ingkar PKP dibuka yang mana 111 daripadanya sudah dituduh di mahkamah manakala 20 tidak diambil tindakan (NFA) dan 42 lagi masih dalam siasatan.

Menurut Roslee, dalam fasa tiga bermula hari ini, pihaknya tidak akan lagi berkompromi dengan sebarang alasan terutama bagi individu yang dijumpai berada di luar selepas jam 8 malam kecuali kecemasan.

"Tindakan tegas ini selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, yang mana individu dikesan melanggar arahan PKP bermula hari ini akan terus ditangkap dan dibawa ke balai untuk proses membuka kertas siasatan sebelum didakwa di mahkamah kerana ingkar PKP," katanya.

Selain itu, Roslee berkata, setakat hari ini, pihaknya tiada membuat sebarang tangkapan terhadap individu yang dikesan memalsukan surat pelepasan dan kebenaran perjalanan daripada majikan masing-masing.

Tag: