• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

2,484 Imam, Bilal Terima ‘One Off’ RM200

MARANG, 29 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk bantuan sekali bayaran kepada semua imam dan bilal di negeri ini.

Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata, bantuan yang disalurkan melalui skuad Ketengah Ambik Cakne mampu meringankan bebanan dihadapi terutama membeli pelbagai barangan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

“Seramai 2,484 imam dan bilal yang bertugas di masjid seluruh negeri menerima bantuan sebanyak RM200 seorang.

"Ketengah terpanggil untuk memberi bantuan sebagai penghargaan kepada semua imam dan bilal yang berperanan dalam melaksanakan pengimarahan syiar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penyampaian bantuan pada program Ketengah Ambik Cakne Iman dan Bilal peringkat daerah Marang di Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini semalam.

Dalam masa yang sama Razali berkata, terdahulu kerajaan Terengganu juga meluluskan peruntukan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal sebanyak RM150 melalui pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan pusat dan negeri tidak meminggirkan peranan dan tanggungjawab imam serta bilal,” ujarnya.

Sementara itu, pengagihan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal di seluruh negeri akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai pada bulan depan.