• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

25 Bom Asap Ditemukan Di Felda Kertih 3

DUNGUN, 18 Februari – Situasi cemas dilalui seorang pemandu lori apabila menemui satu kotak berisi 25 bom asap yang masih aktif di tempat pembuangan sampah Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, objek menyerupai bom tangan tersebut dijumpai oleh pemandu tersebut kira-kira jam 4 petang pada 15 Februari.

"Susulan itu pemandu lori berkenaan telah memanggil beberapa rakan sebagai saksi ke lokasi pembuangan sampah itu kira-kira jam 10 malam, hari sama.

"Sepasukan anggota daripada bahagian persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dikerahkan ke lokasi untuk tindakan, beserta arahan kepada anggota Balai Polis Ketengah agar memasang rintangan kuning di lokasi.

 “Hasil pemeriksaan menemukan 24 bom asap bertulis DK manakala sebutir lagi bertulis 518 Riot CS dalam sebuah kotak berwarna coklat yang ditutupi dua beg galas kanak-kanak,” katanya dalam satu sidang media.

Tambahnya, semakan oleh pihaknya mendapati bom tersebut tidak mempunyai sebarang nombor siri dan dipercayai buatan Korea Selatan.

“Bom seumpama itu lazimnya digunakan ketika latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan merupakan bahan terlarang yang tidak boleh disimpan mana-mana individu.

“Kesemua barangan tersebut akan dilupuskan Unit Persenjataan (AMRA) IPD Dungun di Lapang Sasar Lembah Bidong dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” jelasnya.