KUALA NERUS, 1 Februari - Seramai 25 sukarelawan jururawat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menyertai Misi Bantuan COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, daripada jumlah itu, seramai 12 sukarelawan ditempatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering.
"Manakala 7 orang ditempatkan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan baki seramai 6 orang sukarelawan jururawat UniSZA akan bertolak ke Pusat Kuarantin Malaysia di Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada hari ini dan dijangka akan melaporkan diri pada hari esok bagi menjayakan misi bantuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Dr. Hassan mengadakan satu sesi taklimat bersama sukarelawan-sukarelawan terlibat di Bangunan Canselori UniSZA sebelum mereka memulakan misi masing-masing.
"Semoga sukarelawan jururawat UniSZA yang terlibat dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan sentiasa dilindungi daripada jangkitan virus Covid-19," jelasnya.
Untuk rekod, UniSZA telah melaksanakan beberapa inisitif seperti menubuhkan pasukan khas 'Pasukan Covid Buster UniSZA 'dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Selain itu, UniSZA melalui ahli Fakulti Farmasi dan Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) turut menghasilkan formulasi cecair disinfeksi sendiri.