• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

250 'Mat Motor' Jelajah Ke Kenyir, Madrasah

HULU TERENGGANU, 13 November – Kerajaan negeri meraikan seramai 250 penunggang motosikal sempena program Jelajah Ilmuan 'Ride To Kenyir' bagi meningkatkan semangat warga belia serta melawat pusat-pusat ilmu, di sini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, acara tersebut melibatkan jarak lebih 100 kilometer dengan penyertaan dari seluruh daerah dalam negeri.

“Kita turut menjelajah ke pusat ilmu pendidikan agama di daerah ini seperti Madrasah Darul Ansar, Madrasah Darul Zahra dan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.

“Pihak saya mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada setiap pusat ilmu dikunjungi sebagai suntingan pembangunan buat madrasah di sini.

“Antara pengisian juga adalah lawatan ke Pulau Herba di Tasik kenyir, saya melihat banyak potensi boleh dibangunkan daripada herba-herba tempatan dari segi aspek kajian saintifik terutamanya buat MOSTI,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Jelajah Ilmuan ‘Ride to Kenyir’ di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.

Tambah Amzad, beliau turut mengingatkan warga muda termasuk masyarakat bahawa negeri tidak akan kekal selamat dari segi penularan COVID-19 jika Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak terus dipatuhi.

“Kita baru sahaja berpindah kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Oktober lalu, oleh itu kita perlu kekal mengambil langkah menjaga keselamatan diri dan keluarga," katanya.